Isnin, 14 Mei 2012

Punca Isteri Tak Mampu Berhubungan Intim


Berbanding kaum lelaki, masalah seks kaum wanita jarang dipaparkan. Ramai yang lebih mengetahui tentang masalah mati pucuk dan ejakulasi pramatang yang dihadapi golongan lelaki berbanding dengan disfungsi seks wanita.

Antara masalah seks yang di hadapi oleh wanita adalah sakit untuk melakukan seks. Seks yang seharusnya memberi kenikmatan namun bertukar menjadi sebaliknya berpunca daripada beberapa sebab iaitu vaginimus dan dispareunia.Mungkin anda salah seorang isteri yang menghidap vaginimus tanpa disedari.

Apa sebenarnya penyakit Vaginismus?

Mungkin agak asing bunyinya namun ia adalah masalah seks wanita yang telah lama wujud. Vaginismus adalah satu keadaan dimana terjejasnya keupayaan seseorang wanita menerima penetrasi vagina termasuklah penetrasi seksual, kemasukan tampon dan juga penetrasi ke vagina untuk tujuan pemeriksaan ginekologi seperti pemeriksaan pap smear dsb.

Ia berlaku disebabkan kesan daripada tindak balas otot lantai pelvik seseorang wanita. Tindak balas ini menyebabkan otot bahagian tersebut mengalami kekejangan dan menghalang sebarang penetrasi termasuklah kemasukan alat kelamin suami. Pemaksaan untuk melakukan hubungan seks ketika itu akan menyebabkan kesakitan ataupun kadang kala langsung tidak boleh dilakukan.

Ramai wanita yang tidak pernah mendengar tentang masalah ini walaupun ia sebenarnya sudah lama wujud dikalangan wanita itu sendiri. Di negara barat 2% daripada wanitanya mengalami masalah vaginismus dan di kalangan negara Islam peratusan mungkin lebih tinggi memandangkan seks adalah sesuatu yang tabu dan jarang diperkatakan. Ramai wanita yang mengalami masalah ini biasanya akan hanya memendamkannya sendirian.

Vaginismus Awal

Masalah vaginismus ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Vaginismus awal dan vaginismus sekunder. Vaginismus awal berlaku apabila seseorang wanita itu tidak boleh melakukan sebarang penetrasi seks ataupun apa juga penetrasi ke dalam vagina. Ia selalunya dialami oleh wanita muda awal usia 20-an.

Mereka selalunya tidak mengetahui keadaan tersebut sehinggalah percubaan untuk penetrasi vagina dilakukan ketika hubungan seks. Keadaan ini selalunya akan diikuti dengan perasaan cemas dan juga takut. Beberapa penyebab vaginismus awal ini adalah pernah mengalami penderaan seksual pemikiran bahawa seks adalah sesuatu yang kotor ketakutan untuk melakukan hubungan seks.

Vaginismus Pertengahan

Ia berlaku pada wanita yang sebelum ini mampu melakukan penetrasi vagina namun pada satu keadaan mula mengalami vaginismus. Ia mungkin berlaku akibat sebab fizikal seperti jangkitan kulat, trauma melahirkan anak ataupun faktor psikologi.

Punca Psikologi Dan Fizikal

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah vaginismus. Ia mungkin disebabkan faktor fizikal mahupun psikologi dan rawatan yang diberikan perlulah bergantung pada penyebabnya.

Sekiranya vaginismus disebabkan oleh faktor psikologi maka seseorang wanita boleh mendapatkan khidmat pakar terapi. Ramai kalangan masyarakat termasuklah golongan profesional tidak menyedari masalah emosi akan turut berkait dengan masalah vaginismus seperti ketakutan, kurang keyakinan diri dan juga kemurungan. Wanita yang mengalami masalah ini harus mendapat khidmat profesional yang berpengalaman dengan masalah vaginismus.

Rawatan Fizikal
Rawatan fizikal yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah vaginismus adalah dengan mengajar seseorang wanita yang menghadapi masalah ini teknik untuk menenangkan otot dan seterusnya mengelakkannya dari kejang.

Tekniknya termasuklah mengembangkan vagina dengan cara memasukkan rod plastik kecil ke dalam vagina. Senaman kegel juga boleh dipraktikkan. Ia akan membantu menguatkan otot pelvik sekitar vagina, urethra dan rectum. Senaman ini akan membantu wanita tersebut mengawal otot yang berkontraksi secara paksa hingga menyebabkan kekejangan.

Hubungan Seks

Sekiranya seseorang wanita itu menghadapi masalah vaginismus, penetrasi seksual akan hanya menyebabkan kesakitan dan hubungan seks sukar dilakukan sehinggalah masalah mereka dirawat.

Bagaimanapun wanita mengalami vaginismus ini masih boleh melakukan aktiviti seksual lain yang tidak melibatkan penetrasi vagina seperti kucupan, belaian mahupun oral seks. Pasangan wanita yang mengalami vaginismus selalu beranggapan bahawa isteri mereka langsung tidak mahu melakukan seks, namun ini sebenarnya tidak benar. Ramai kalangan wanita dengan masalah ini mahu melakukan seks namun terhalang oleh rasa sakit dan juga tekanan emosi setiap kali percubaan seks dilakukan terutama sekali bila pasangan tidak melakukan proses pemanasan yang cukup.

Isnin, 16 April 2012

Chlamydia - Gejala, Komplikasi, Rawatan, Pencegahan


Pengenalan
Chlamydia adalah jangkitan bakteria yang kerapkali didapati di Malaysia. Ia dikategorikan sebagai penyakit kelamin yang berjangkit melalui hubungan seks. Jika tidak dirawati ia boleh menyebabkan penyakit radangan pelvis atau pelvis inflammatory disease (PID), kemandulan dan masalah ketika mengandung. Chlamydia sangat mudah merebak melalui hubungan seks dengan pasangan yang telah dijangkiti.

Chlamydia berlaku empat kali ganda lebih kerap daripada penyakit gonorrhea. Wanita mengandung boleh menjangkiti bayi mereka semasa bersalin, dan boleh menyebabkan infeksi pada mata atau paru-paru (pneumonia) bayi. 

Tanda dan Gejala 
80% wanita dan 10% dari lelaki tidak menunjukan gejala. Walau bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai gejala-gejala itu boleh menjelma pada hari ke 7-14 selepas jangkitan. 

Untuk Lelaki : 
  • Keluaran cecair dari zakar (penis)
  • Pedih/perit dan gatal semasa buang air kecil. 
  • Gejala yang dialami mungkin dikesan awal tetapi hilang begitu sahaja. Walau bagaimanapun ianya akan muncul semula. Advanced Chlamydia boleh menyebabkan radangan pada salur epididymis dan kemandulan.

Untuk Wanita: 
  • Gatal atau keluar lendiran pada faraj.
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Perdarahan diantara kitaran haid
  • Demam
  • Penyakit ini boleh menyebabkan radangan pangkal rahim, rahim dan penyakit radangan pelvis (pelvic inflammatory disease ) yang boleh menyebabkan kemandulan.

Untuk Bayi: 
  • Demam
  • Radang paru-paru (Pneumonia)
  • Sakit mata 


Biasanya ia akan menunjukkan gejala dalam masa satu minggu hingga satu bulan selepas jangkitan. 

Komplikasi
Chlamydia boleh menyebabkan kemandulan kepada lelaki dan wanita

Rawatan
Wanita boleh diperiksa melalui pengambilan swab ke dalam pangkal rahim semasa pemeriksaan pelvis, sementara lelaki boleh diperiksa dengan swab ke dalam hujung salur air kencing untuk mengambil spesimen. Pemeriksaan air kencing boleh juga dilakukan untuk kedua-dua jantina. Penyakit boleh sembuh dengan pemberian antibiotik selama seminggu.

Rawatan awal digalakkan. Ia boleh mengelak daripada masalah seperti penyakit radang pelvis (pelvic inflammatory disease) di samping kemandulan dan masalah mengandung. Rawatan mesti diberi sepenuhnya sehingga gejala Chlamydia hilang. Pesakit tidak digalakkan mengambil arak, susu dan lain-lain produk tenusu. 

Dalam kes-kes Chlamydia melalui perhubungan seksual, kedua-dua pasangan perlu dirawat bersama. Aktiviti seks perlu dielakkan sehingga rawatan selesai. Rawatan susulan juga penting, kerana doktor perlu memastikan jangkitan penyakit sembuh sepenuhnya.

Pencegahan
Cara pencegahan Chlamydia yang terbaik adalah dengan memperbaiki tahap kebersihan diri dan amalan gaya hidup sihat. Seorang yang aktif dalam hubungan seks perlu menggunakan kondom atau diaphragms semasa perhubungan seks. Ini dapat mengurangkan jangkitan Chlamydia. Walau bagaimanapun mengelak dari melakukan hubungan seks adalah dicadangkan kepada yang dijangkiti dan diberi rawatan antibiotik.

Risiko untuk Chlamydia (atau lain-lain jangkitan penyakit seksual), akan meningkatkan dengan bertambahnya bilangan pasangan seksual.

Khamis, 5 April 2012

Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)


 Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai Kanser Servik merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia. Barah pangkal rahim juga merupakanbarah paling biasa dikalangan wanita usia biak ( reproductive age ). Salah satu faktor risiko penyakit barah pangkal rahim adalah kehadiran antibodi kepada human papillomavirus (kumpulan virus yang sama yang menyebabkan ketuat kelamin ( genital wart ). 

KETUAT KELAMIN (Genital Warts)

Megenali ketuat kelamin
Ketuat kelamin merupakan sejenis penyakit kelamin. Ketuat kelamin merujuk kepada bonjolan daging lembut, lembab dan tidak sakit pada alat kelamin. Ketuat kelamin bewarna merah jambu atau keperangan dan boleh tumbuh di atas kemaluan, bibir faraj, kawasan dubur, dan kadangkala pada faraj wanita.

Ketuat ini pada wanita berpotensi berubah menjadi barah, terutamanya barah pangkal rahim.Ketuat kelamin tidak menunjukkan tanda-tanya yang ketara, oleh itu ujian pap smear digalakkan untuk dilakukan secara berkala terutamanya bagi mereka yang menjangkau usia 40an.Bagi wanita mengandung, rawatan perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan ketuat kelamin berjangkit kepada bayi yang akan lahir secara normal.Walaupun tidak merbahaya, virus ini dipercayai menyebabkan perubahan kepada sel di pangkal rahim ( cervix ), menyebabkan perkembangan barah. Jenis strain HPV dikaitkan dengan barah pangkal rahim (strain 16, 18 dan 31), bukanlah jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

BARAH PANGKAL RAHIM (Kanser Serviks)

Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai Kanser Serviks merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia. Kes barah pangkal rahim semakin meningkat setiap tahun. Jika barah pangkal rahim tidak dikesan dan dirawat awal barah pangkal rahim boleh membawa maut.

Mengenali lebih dekat Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)

Serviks adalah pangkal rahim dan rahim merupakan bahagian tubuh di mana janin berkembang.Serviks berhadapan dengan saluran yang dipanggil faraj.Dalam barah pangkal rahim, sel-sel di pangkal rahim tumbuh secara tidak normal. Sel-sel terus membesar dan membentuk satu ketumbuhan atau tumor. Jika tidak dirawat sel-sel barah ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain melalui sistem darah atau limfa anda.Barah pangkal rahim mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang. Sebelum barah pangkal rahim berkembang, perubahan awal berlaku di dalam sel pada permukaan pangkal rahim. Ini disebut peringkat pra-kanser. Wanita yang kerap bertukar-tukar pasangan berdepan risiko lebih tinggi mendapat kanser serviks yang disebabkan jangkitan virus Human Papilloma (HPV) yang hanya tersebar melalui hubungan seks. Selain itu, kanser serviks juga boleh disebabkan hubungan seks pada usia terlalu muda dan tabiat merokok.

Tanda-Tanda Gejala Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)
  • Lelehan faraj yang berair dan berbau busuk.
  •  Rasa sakit semasa melakukan perhubungan seks.
  • Perdarahan dari faraj antara haid atau selepas perhubungan seks.
  •  Sebarang perdarahan dari faraj selepas putus haid.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan, kira-kira 26 peratus saja wanita menjalani ujian pap smear, manakala 74 peratus lagi memberi perhatian terhadap pemeriksaan kanser payu dara.Secara amnya wanita perlu menjalani tiga jenis pemeriksaan iaitu ujian kanser payu dara, ultra sound dan lumuran pap sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Ujian lumuran Pap (Pap Smear)
Oleh kerana wanita yang aktif seks berisiko mengidap barah pangkal rahim (Kanser Serviks), adalah penting untuk mengesannya awal-awal lagi.Ini boleh dilakukan melalui Ujian Pap Smear. Ia merupakan ujian yang mudah dan tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Ujian Pap Smear ini boleh mengesan barah pangkal rahim (Kanser Serviks) pada peningkat awal. Rawatan yang mudah pada peringkat ini boleh membawa penyembuhan sepenuhnya.
Ujian ini boleh didapati di:
  • Pusat Kesihatan Kerajaan
  •  Klinik Perancang Keluarga
  • Hospital/Klinik Swasta

Antara calon/kriteria wanita yang perlu menjalani PAP Smear
  • Wanita berumur antara 20 - 65 tahun, yang aktif seks atau pernah aktif seks dahulu, perlu menjalani ujian Ujian PAP Smear.
  • Ujian Ujian PAP Smear hendaklah dilakukan sekurang-kirangnya 2 tahun sekali.
  •  Ujian PAP Smear terbaik sekali dijalankan pada pertengahan pusingan haid atau 10 hari selepas kedatangan haid
Para wanita  juga dinasihatkan adalah lebih baik untuk menjalani ujian lumuran Pap ini pada setiap tahun untuk memeriksa sel prabarah, atau sebarang kelainan. Jika barah pangkal rahim dapat dikesan awal, ia masih boleh dirawat tanpa mengganggu kesuburan anda.

Selasa, 17 Januari 2012

Memahami Implikasi Keputihan Terhadap Wanita

KEPUTIHAN yang dihadapi kebanyakan wanita adalah sesuatu yang normal. Umumnya, setiap wanita mengalami keputihan kerana ia sebenarnya adalah proses perubahan hormon dan pembersihan yang mana sel sel mati dikeluarkan dari dalam lubang faraj .Secara biologi keputihan akan berlaku pada sekitar sebelum waktu haid bagi setiap wanita. Selain wanita yang sudah berkahwin dan hamil, remaja perempuan juga akan mengalami masalah keputihan, malah ada kalanya kanak-kanak kecil juga turut tidak terkecuali.Kebiasaannya remaja jarang mendapat keputihan kecuali mereka yang mengambil ubatan tertentu seperti mengambil ubat untuk penyakit diabetes, mempunyai sistem badan rendah atau seorang yang aktif secara seksual.

Adalah dianggarkan 75 peratus wanita yang sudah berkahwin akan mengalami masalah keputihan. Masalah itu berlaku disebab wanita berkahwin telah mendapat pendedahan seksual dan ini menyebabkan dirinya mudah dijangkiti.Mentelah lagi dengan pengunaan produk-produk intim masakini yang bertoksik seperti sabun,syampu & gel mandian menyumbang kepada gangguan flora bakteria sedia ada didalam faraj seseorang wanita.

Statistik menunjukkan wanita hamil paling berisiko mengalami masalah keputihan disebabkan perubahan hormon yang berlaku ketika kehamilan dan menyebabkan wanita berkenaan sesuai untuk mengalami jangkitan kulat. Ketika hamil, hormon estrogen akan menyebabkan faraj mengeluarkan lebih banyak glycogen, ini menyebabkan kulat mudah membiak. Hormon estrogen juga akan menyebabkan kulat lebih senang melekat di dinding faraj.Secara anggaran, hampir 80 peratus atau 8 dalam 10 wanita hamil mungkin mengalami masalah keputihan.

Keputihan hanya dianggap bermasalah atau abnormal, seandainya ia keluar terlalu banyak, berbau busuk dan hanyir serta menyebabkan bahagian sulit berasa gatal atau radang. Keputihan itu juga tidak berwarna jernih lagi, tetapi berketul-ketul seperti keju dan menjadi kekuningan serta kehijauan.Adakalanya keputihan yang keluar dengan banyaknya menyebabkan kegatalan yang amat sangat sehinggakan seseorang itu menggaru dan kulit vagina akan melecet dan terasa pedih atau seperti terbakar

Keadaan seumpama itu selalunya disebabkan penyakit lain atau dikaitkan dengan jangkitan seperti :

  • Kulat Candidiasis (keputihan seperti kepingan susu basi)
  • Kuman Tricomonas (lelehan keputihan atau tidak berwarna cair, banyak, berbuih)
  • Bacterial vaginosis (lelehan berbuih, berbau hanyir)
  • Kuman Chlamydia (jarang menyebabkan lelehan)
  • Kuman Gardneralla (lelehan cair berbau busuk)


Proses Semulajadi Bakteria Didalam Faraj

Faraj mengandungi bakteria semula jadi iaitu bacillus asidofilus menghasilkan asid lactat yang berfungsi melindungi faraj dari kemasukan atau serangan kulat dan kuman. Kadangkala pembiakan kuman asidofilus meningkat dan menyebabkan pengeluaran cecair berwarna putih kekuningan dan berbau masam.Bau yang tidak menyenangkan ini juga boleh berlaku akibat tindak balas bakteria terhadap peluh yang sering berlaku pada bahagian kemaluan. Apabila keasidan faraj kurang dari tahap yang diperlukan iaitu sekitar pH 3.8-4.5 akan memudahkan sejenis kulat yis(biasanya candida albican) menghinggapinya lalu membiak dalam kadar yang terlalu pantas dan perkara ini akan mendatangkan masalah infeksi.Ada juga kes yang mengambil pil perancang mengalami masalah keputihan yang teruk, tetapi ini tidak bermakna semua wanita yang mengambil pil perancang akan mengalami masalah keputihan.

Keputihan Mengganggu Keharmonian Rumahtangga?

Walaupun masalah keputihan disebabkan jangkitan kulat tidak membawa kesan pada kesuburan seseorang wanita tetapi implikasinya hubungan seksual antara suami isteri pasti terjejas apabila masalah keputihan teruk dan berbau mengendurkan keinginan untuk melakukan seks dan ini dapat merenggangkan hubungan kedua pasangan.

Berlakunya radangan pada kawasan sulit menyebabkan pasangan berasa sakit dan tidak selesa ketika hendak bersama. Malahan, walaupun tidak dikategorikan sebagai penyakit kelamin yang menular, seorang isteri jika bermasalah keputihan boleh menjangkiti suami dan kesan dari jangkitan yang dialami oleh suami juga sama termasuk, sakit ketika hendak membuang air kecil.Seharusnya wanita yang mengalami keputihan ini peka kepada komplikasi-komplikasi yang mendatang dan mengambil langkah bijak untuk merawatnya segera daripada membiarkan ia memusnahkan keharmonian rumahtangga.

Wanita yang mengalami masalah keputihan juga disarankan mengamalkan amalan pemakanan dengan memperbanyakkan memakan sayuran hijau dan dadih yang mengandungi lactobasillus.Bagi yang mengalami masalah radang pula digalakkan kerap menukar seluar dalam dan juga memilih yang diperbuat daripada kain kapas serta sedikit longgar.

Antara Rawatan Pilihan

Ramai juga yang berpendapat rawatan herba tradisional berkesan untuk merawat keputihan walaupun tiada data yang menyokong perkara ini.Sama juga seperti rawatan moden yang juga ada kesan sampingan, begitu jugalah rawatan herba.Satu perkara kita perlu fahami adalah kaedah perubatan herba tradisional sudah lama diamalkan orang dulu dan didapati berkesan serta diperturunkan dari generasi ke generasi sehingga kini. Seharusnya kita tidak membelakangkan kaedah herba tradisional kerana telah terdapat bukti kesahihan walaupun tanpa sokongan data,tidak seperti rawatan moden yang dipelopori barat dengan kajian dan data-data yang menyokong kajian mereka.Tidak kira jenis rawatan yang menjadi pilihan setiap individu,perkara yang paling utama ialah memastikan keputihan harus dirawat seberapa segera sebelum ianya menular keorgan – organ berdekatan.

Sabtu, 14 Januari 2012

Mengenali Warna Keputihan Wanita

Tanda-tanda penyakit akibat daripada keputihan boleh diamati menerusi ciri dan warna lelehan yang keluar apabila keputihan berlaku. Namun, perlu anda ketahui bahawa tidak semua lelehan yang keluar itu merupakan tanda penyakit.


Dalam kebanyakan kes, masalah keputihan yang kerap berlaku kepada para wanita adalah disebabkan oleh kulat. Ini termasuklah wanita hamil. Namun, apabila masalah menjadi lebih kronik, pemeriksaan perlu dilakukan kerana dikhuatiri ia mempunyai kaitan dengan masalah kencing manis ketika hamil. Bagi wanita yang tidak hamil, keputihan lazimnya berlaku sewaktu stres ataupun ketika imuniti tubuh menjadi lemah.


1. Jernih
Sekiranya, lelehan yang dialami berwarna jernih dan banyak lendir tetapi tidak berbau, anda tidak perlu risau. Keadaan ini merupakan sesuatu yang normal. Lazimnya, lelehan daripada warna seperti ini akan keluar dua minggu menjelang haid, sekitar waktu sebur atau apabila hormon estrogen berlebihan mahupun stres. malah, keputihan seperti ini turut sering dialami oleh kebanyakan wanita hamil.


2. Putih
Lain pula halnya jika lelehan yang keluar berwarna putih, berair dan berbau busuk. malah, jika kegatalan di sekitar kemaluan dialami dan disertai dengan rasa sakit ketika membuang air kecil maka kemungkinan besar anda menderita jangkitan yang disebabkan oleh sejenis kulat dikenali sebagai candida albicans. Kulat ini sememangnya paling sering hinggap di bahagian intim wanita.


3. Putih Pekat
Sekiranya lelehan yang keluar kelihatan seperti susu pekat, melekit, sangat banyak dengan bau yang tidak begitu menyenangkan, berkemungkinan berlaku radang pada serviks dan vagina. Dalam keadaan tertentu terutamanya ketika keadaan menjadi lebih teruk, rupa lelehan itu akan kelihatan seperti tairu. Untuk makluman anda, masalah ini sebenarnya turut berpunca daripada jangkitan candida albicans.


4. Coklat
Lelehan yang berwarna coklat, berair, sangat banyak dan lembap merupakan petanda anda mengalami masalah gangguan pembuluh darah pada serviks atau endometriosis. Warna coklat tersebut timbul akibat perdarahan seperti keguguran, haid tidak teratur ataupun darah segar yang apabila kering bertukar warna menjadi coklat.


5. Merah muda
Bagi anda yang mungkin mengalami lelehan yang berwarna merah muda, cair, sangat banyak tetapi tidak berbau maka berkemungkinan berlaku jangkitan bakteria yang tidak khusus. Biasanya keputihan ini terjadi setelah melahirkan. Selain daripada itu, ia juga mungkin haid, pendarahan di pangkal rahim, faraj atau dalam rahim. Antara lain, gejala ini turut timbul saat anda mengalami masalah hormon estrogen berlebihan.

Rabu, 11 Januari 2012

Mengenali Simptom Keputihan & Penyebabnya

Keputihan yang normal bukanlah satu penyakit yang berbahaya atau gejala penyakit tetapi apabila tanda tanda abnormal muncul itu akan dikhuatiri akan menjadi penyakit.Cara paling mudah untuk kita mengenal pasti samaada keputihan anda di tahap normal atau abnormal adalah melalui simptom keputihan itu :

1-Simptom 1
-Lendir bewarna putih kekuningan,pekat bergumpal,berbau dan gatal di vagina
-Penyebabnya ialah kulat Candida sp
-Jika dibiarkan boleh melemahkan pertahanan diri dan menggalakkan bakteria bahaya lain merebak seperti E-Coli

2-Simptom 2
- Lendir berwarna kuning pekat kehijauan, berbuih dan berbau busuk.Vagina terasa sakit jika ditekan,kadang kadang disertai rasa sakit semasa buang air kecil dan ada bintil atau luka di bibir vagina serta gatal.
-Penyebabnya ialah bakteria jenis Trichomonas vaginalis dan Enterobiasis
-Kemungkinan penyakitnya ialah jangkitan penyakit kelamin

3-Simptom 3
-Lendir pekat dan kehijauan kadang-kadang bercampur darah, berbau hamis namun tidak timbul rasa gatal pada vagina dan terdapat luka.
-Penyebabnya adalah virus dan dikhuatiri mungkin tanda tanda awal pra kanser rahim.

Keadaan yang menyebabkan berlaku keputihan

1-Pada masa yang subur
-Pada waktu subur tubuh wanita akan giat menghasilkan hormon estrogen akibatnya lendir yang dihasilkan vagina akan lebih banyak dari biasa.

2-Ketika hamil
-Ketika hamil hormon estrogen lebih dikeluarkan dan pada waktu itu keputihan penting untuk menjaga kelembapan sekaligus meningkatkan persediaan vagina melakukan peregangan ketika waktu untuk melahirkan.

3-Saat terangsang
-lendir di vagina akan lebih banyak keluar jika wanita terangsang secara seksual.Cairan yang keluar ini berfungsi sebagai pelincir yang membantu saat melakukan hubungan seksual.

4-Berat badan yang berlebihan
-Apabila lemak terlalu banyak di kaki atai celah paha dan kelangkang ini akan menjadikan kawasan tadi lembab dan ini memudahkan kulat membiak dan keputihan akan terjadi.

5-Minum/memakan antibiotik dalam dos tinggi
-Dalam vagina terdapat bakteria yang bertugas menstabilkan keasidan pH vagina agar tetap dalam keadaan asid dan antibiotik yang diambil secara berlebihan akan membunuh bakteria berguna tadi dan ini akan merosakkan kestabilan pH vagina dan akan menyebabkan kulat dan bakteria berkembang baik dan menyebabkan keputihan.


Bagi anda yang mengalami masalah kesihatan/keputihan,sila ajukan soalan atau pertanyaan diruang catat ulasan.Saya akan cuba membantu jika ianya mengenai jangkitan dan rawatan kesihatan/keputihan wanita.Bagi yang merasa malu atau inginkan privasi boleh lah hantar email kepada saya dialamat email drsalwa@doktorherba.com 

Alhamdulillah,kami telah menerima banyak email-email tentang pemasalahan kesihatan dan keputihan.Bagi email yang belum dijawab,harap anda dapat bersabar sementara menunggu giliran.Terima Kasih 


Ahad, 18 Disember 2011

Vaginitis - Sindrom Derita Dalam Senyap

Statistik WHO tentang kesihatan reproduksi wanita menunjukkan 75% wanita di dunia pasti mengalami vaginitis sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan 45% diantaranya pernah mengalaminya sebanyak dua kali atau lebih.
Simptom-simptom seperti keluarnya cairan dari vagina diikuti rasa gatal, iritasi, nyeri ketika melakukan hubungan intim, sakit pada ari-ari, bau yang tidak menyenangkan dan kadangkala terjadi pendarahan dari vagina.
Setiap wanita di seluruh dunia pasti pernah mengalami vaginitis walaupun hanya sekali seumur hidupnya. Ironinya, ramai wanita gagal memahami punca keadaan ini berlaku dan mula merasa tertekan, bingung, bercelaru, rasa rendah diri, marah, sebak dan bermacam-macam perasaan serta emosi yang negatif. Sementelahan lagi wanita yang sedang hamil atau remaja yang belum berkahwin dan belum pernah mendapat pendedahan seksual. Mereka cuma memahami keadaan ini sebagai keputihan.

Mengapa Wanita seringkali mengalami masalah ini ? 

Antara sebab-sebab perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh kurangnya keperihatinan atau mungkin terdapat sedikit kekeliruan terhadap satu-satunya organ yang sangat penting untuk wanita
  1. Ramai wanita tidak memahami fungsi organ kewanitaannya sehingga secara khusus tidak memberi perhatian terhadap organ tersebut.
  2. Selalu berperasaan bahawa tidak ada masalah terhadap organ kewanitaannya, membuatkan para wanita kurang menjaga kesihatan organ kewanitaan mereka.
  3. Wanita lebih berminat merawat wajah daripada organ kewanitaannya.
  4. Kurangnya informasi mengenai gejala penyakit yang bakal timbul jika tidak menjaga organ yang satu ini
  5. Tidak peka pada pengunaan ubat-ubatan, kimia, diet dan persekitaran yang kondusif bagi flora bakteria di dalam vagina.
Ketidakperihatinan tentang masalah vaginitis ini jika berterusan akan menyumbang kepada permasalahan yang lebih besar. Sebagai contoh vaginitis yang tidak dirawat boleh mengakibatkan banyak komplikasi lain seperti kelahiran pra matang, barah serviks, rosaknya tiub fallopian, mengandung luar rahim dan sebagainya.

Bagaimana Sindrom ini Terbentuk 

Dibandingkan dengan organ seksual lelaki, kedudukan organ seksual wanita lebih tersembunyi dan sukar untuk diamati oleh yang empunya diri sendiri sehingga memerlukan perhatian yang lebih sedikit dalam penjagaanya.

Jika diambilkira latarbelakang seseorang wanita yang datang dari keluarga masyarakat Melayu Islam, maka tidak hairanlah wanita itu sendiri kurang pendedahan dari aspek penjagaan organ kewanitaannya disebabkan oleh perasaan malu hendak bertanya, terlalu berahsia dan di dalam kebanyakkan keluarga Melayu Islam juga didapati ianya menjadi satu perkara yang taboo dan kurang sopan jika dibicarakan secara terbuka.

Akibatnya, ramai wanita tidak mendapat informasi yang tepat dan sering keliru tentang aspek kesihatan organ kewanitaanya yang akhirnya menjadikan mereka kurang perihatin dengan penjagaanya. Maka secara psikologi terbentuklah satu sindrom baru dalam kehidupan wanita itu sendiri yang menggabungkan penderitaan emosi dan rohani juga digelar sindrom “derita dalam senyap”

Didapati lebih ramai wanita dikalangan yang belum berkahwin menghadapi sindrom ini tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan orang lain atau ibubapa disebabkan perasaan malu dan taboo tadi. Masalah vaginitis ini akan terus membelenggu kehidupan seharian mereka sehinggalah mereka berusaha untuk merawatnya samada dengan cara perubatan moden ataupun perubatan alternatif herba yang banyak terdapat dipasaran.


Bagi anda yang mengalami masalah kesihatan/keputihan,sila ajukan soalan atau pertanyaan diruang catat ulasan.Saya akan cuba membantu jika ianya mengenai jangkitan dan rawatan kesihatan/keputihan wanita.Bagi yang merasa malu atau inginkan privasi boleh lah hantar email kepada saya dialamat email drsalwa@doktorherba.com 

Alhamdulillah,kami telah menerima banyak email-email tentang pemasalahan kesihatan dan keputihan.Bagi email yang belum dijawab,harap anda dapat bersabar sementara menunggu giliran.Terima Kasih